Dr Mahathir Yakin
Amerika Syarikat Hormati Hak Malaysia |
KUALA
LUMPUR, 15 Okt -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata
beliau percaya Amerika Syarikat menghormati hak Malaysia untuk
menyatakan pendirian mengenai keganasan serta serangan yang
dilakukan oleh Washington terhadap Afghanistan.
"Saya percaya mereka berpegang kepada prinsip kebebasan dan mereka tidak akan menyekat kita daripada menyuarakan pendapat kerana ini adalah hak kita sebagai sebuah negara," kata Perdana Menteri dalam program "Bersama Perdana Menteri" yang disiarkan melalui TV1 Isnin malam.
Dr Mahathir berkata hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat kini adalah baik dan beliau percaya negara itu akan menghormati pendirian Malaysia terhadap apa yang berlaku. Katanya beliau yakin kerajaan Amerika Syarikat sekarang akan menerima hakikat bahawa ada pendapat-pendapat yang berbeza dengan mereka. "Kalau mereka hendak semua menyetujui pendapat mereka, ini akan menghalang dialog dan perbahasan," kata Dr Mahathir. |